Allahyarham Tuan Guru Muhammad Saman Bin Muhammad (1922-1995) atau juga dikenali sebagai Ustaz Mat Saman Kati merupakan seorang ulama tasawuf yang terkenal.
Ustaz Mat Saman Kati pernah mengarang buku berjudul Ilmu Tasawuf (Penerbitan Pustaka Nusa Sdn. Bhd: 1997). Ustaz Mat Saman Kati seorang pendakwah dan guru agama yang terkenal. Semasa hayatnya, Allahyarham banyak berdakwah di seluruh negara, Brunei Darul Salam dan Indonesia. Platform dakwahnya tidak hanya tertumpu di masjid, surau tetapi melebar di media elektronik seperti radio dan televisyen khususnya RTM.
Topik dakwahnya banyak berkisar ibadat tasawuf yang menurut beliau telah diamalkan oleh para rasul semenjak Nabi Adam a.s lagi sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w. Ibadat tasawuf dilakukan secara khalwat (bersunyi atau menyendiri). Ia juga dikenali sebagai Suluk atau Tarekat – kedua-dua perkataan itu bermaksud jalan kepada Yang Maha Esa iaitu cara pengabdian serta wirid dengan menyebut dan memuji, berserah dan bersyukur kepada Yang Maha Pencipta alam ini.
Nama sebenar Allahyarham ialah Haji Mohd. Saman bin Mohammad tetapi nama itu seakan-akan lenyap apabila murid-muridnya atau masyarakat tempatan mengenali beliau sebagai Ustaz Mat Saman Kati sahaja. Nama gelaran tersohor ini secara tidak semena-mena terbit pada sekitar tahun 1960-an sewaktu beliau menjadi mudir Sekolah Agama Nurul Kamaliah di sebuah pekan kecil bernama Kati berdekatan dengan Bandar Diraja, Kuala Kangsar, Perak.
Ustaz Mat Saman Kati dilahirkan pada 15 September 1922 di Kampung Relau Berdiri, Batu Kurau, Taiping. Beliau mula menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Sungai Akar, Batu Kurau sehingga darjah lima. Kemudian, beliau diterima menjadi guru pelatih di sekolah berkenaan. Namun, jawatan tersebut sempat disandang selama tiga bulan, sebaliknya beliau memilih haluan baru untuk terus menimba ilmu agama.
Selanjutnya, Ustaz Mat Saman Kati bersekolah di Madrasah Mariah (kini SMA Idrisiah, Kuala Kangsar yang ketika itu mudirnya ialah Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulama terkemuka di Tanah Melayu. Tetapi, beliau cuma belajar selama setahun kerana dikatakan tidak berupaya menyesuaikan diri dengan pelajar-pelajar di sekolah tersebut yang kebanyakannya berlagak seperti anak-anak raja dan orang kaya. Sebaik sahaja berhenti sekolah, Ustaz Mat Saman Kati terus pulang ke kampung tetapi tidak lama kemudiannya, beliau menyambung pelajaran di Madrasah Rushidah, Kampung Jelai, Batu Kurau. Di madrasah ini, Ustaz Mat Saman Kati belajar selama enam tahun (1936-1942) dengan mempelajari ilmu pidato (pengucapan awam), mantik dan mendalami ilmu tasawuf yang kemudiannya merangsang beliau mengamalkan ilmu tarekat Naqsyabandiyah.
Setelah tamat pengajian di Madrasah Rushidah, beliau tidak merantau ke mana-mana sebaliknya belajar bersendirian dan mengajar sambilandi kampungnya di samping bekerja sebagai petani mengerjakan sawah dan bercucuk tanam. Selama tiga tahun beliau melakukan kegiatan tersebut sebelum berpindah ke Sungai Siput Utara pada tahun 1945.
Nasibnya agak baik, di Sungai Siput, Ustaz Mat Saman Kati ditawarkan mengajar di Sekolah Agama Rakyat, Batu Satu, Jalan Lasah. Sewaktu mengajar di sini, beliau melebarkan bakatnya sebagai guru dan pendakwah. Apabila sekolah tersebut diambilalih dan dikendalikan oleh kerajaan, Ustaz Mat Saman Kati sekali gus diserap menjadi guru kerajaan. Tugas utamanya mengajar membaca Al-Quran, fardhu ain dan lain-lain.
Sesungguhnya Ustaz Mat Saman Kati bercita-cita tinggi. Hajatnya untuk menjadi seorang ulama besar seperti Haji Agus Salim dan Imam Bonjol di Sumatera, Indonesia atau setaraf dengan Sheikh Abdullah Fahim dan Sheikh Tahir Jalaludin. Lantaran itu, beliau membulatkan tekad untuk menimba ilmu Islam sebanyak mungkin. Maka, berangkatlah beliau dengan kapal laut ke Makkah pada tahun 1950.
Di Kota Suci Makkah, Ustaz Mat Saman Kati melanjutkan pelajaran di Madrasah Darul Ulum. Di situ, beliau mendalami ilmu tafsir Al-Quran, hadis, sejarah Islam, bahasa Arab dan ilmu-ilmu yang bersangkutan dengan Agama Islam. Semasa di Makkah, beliau sempat juga menerima ajaran daripada mujahid-mujahid Islam yang berjuang menentang penjajah seperti Mohamad Abduh (Mesir) dan Jamaluddin Al-Afghani (Pakistan).
Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1952, Ustaz Mat Saman Kati dilantik sebagai mudir Madrasah Nurul Kamaliah, Kati, Kuala Kangsar. Sewaktu di Kati, masyarakat tempatan mula memberi perhatian terhadap syarahannya yang bernas. Masyarakat tertarik kerana cara penyampaian syarahannya yang lantang, terus-terang dan diselang-selikan dengan unsur-unsur kelakar. Menurut beberapa orang muridnya, Allahyarham seorang yang bijak berkelakar, menyindir dan mengecam secara halus dalam setiap syarahan agama dengan tujuan menyeru ke arah kebaikan. Sikapnya yang lekas mesra, ramah serta mempamerkan kematangan berfikir ketika mengupas persoalan agama yang dikemukakan kepadanya, menyebabkan Allahyarham disanjung oleh masyarakat. Faktor inilah yang melenyapkan nama asal beliau sebaliknya timbul pula gelaran Ustaz Mat Saman Kati yang kian hari semakin tersohor.
Namun, resam orang Melayu, pantang melihat kejayaan orang, maka timbullah angkara durjana fitnah memfitnah. Ustaz Mat Saman Kati tidak dapat menepis angkara ini. Beliau difitnah oleh segelintir masyarakat tempatan lantas beliau tidak lagi betah untuk meneruskan kerjayanya sebagai guru agama di Kati. Beliau tegar meninggalkan pekan kecil Kati yang telah memberikannya sebuah nama besar.
Tetapi, perpisahan dengan Kati tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang mengembangkan syiar Islam di tanah airnya sendiri. Beliau bertekad melangsungkan perjuangan yang belum langsai. Tekadnya telah diberkati Allah s.w.t. Kegiatan dakwahnya yang sebelum ini hanya tertumpu di Kati kini melebar ke seluruh Negeri Perak Darul Ridzuan terutama kawasan di sebelah utara Semenanjung. Tambahan pula, tugas suci itu mendapat dorongan dan dukungan Jabatan Agama Islam Perak.
Pada tahun 1964, Allahyarham digelar sebagai Tuan Guru Mat Saman Kati berikutan Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Iskandar Shah melantik beliau menjadi guru agama khas di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Jawatan itu disandangnya sehingga tahun 1970. Kemudian, beliau terpilih pula sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Syariah Negeri Perak. Jawatan lantikan Sultan Perak ini berkekalan sehingga akhir hayatnya.
Allahyarham seorang ulama yang rapat dengan istana Perak. Misalnya, dengan perkenan Sultan Perak, Ustaz Mat Saman Kati dilantik menjadi Ahli Dewan Negara Perak (Majlis Penasihat kepada Sultan Perak) mulai tahun 1978 hingga 1980. Pada 1 April 1986, Allahyarham dilantik menjadi Orang Besar 16 bergelar Toh Paduka Indera yang bertanggungjawab sebagai penasihat Sultan Perak mengenai Agama Islam.
Di samping berdakwah, Ustaz Mat Saman Kati giat mengarang kitab dan buku. Antara kitab yang dihasilkan ialah Masailatul Tauhid (seluk-beluk ilmu tauhid), Utusan Ibadat (ilmu amal ibadat mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah), Ajaran Tasawuf dan Tarekat (ilmu sufi), Al-Ruddun Ala Ahlil Bidaah, Masalah Agama Dari Segi Ibadah, Attariq Ilahi, Addulai-Lu Maarifah, Panduan Individu dan Ghayatul Maksud dan Ilmu Tasawuf serta sebuah buku bercorak memoir; Lawatan Ke Mesir.
Ustaz Mat Saman Kati mempunyai ramai sahabat dari kalangan para alim ulamak sezaman yang di antaranya Allahyarham Tuan Syeikh Daud Malau rakan seperguruan di Mekah, Allahyarham Tuan Guru Haji Ja'afar Al-Hafiz dan Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Hamid dari Pondok Padanng Lallang Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan ramai lagi. Juga tidak sedikit pula meninggalkan anak murid yang istiqamah berjuang meneruskan cita-citanya meninggikan syiar Islam di negeri Perak khasnya dan seluruh negara amnya. Di antaranya yang masih bergiat cergas menjalankan usaha-usaha dakwah di negeri Perak adalah YBhg Dato' Tuan Guru Hj. Abd Latif Abdul Rahman (Pak Teh Kroh) yang merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Syariah di Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perak dan Allahyarham Tuan Guru Haji Sabran bin Haji Asmawi khususnya di dalam bidang Ajaran ilmu Tasawuf dan perjalanan ahli-ahli Tarekat.
Ustaz Mat Saman Kati sempat merasai jasanya dihargai setelah dianugerahkan darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato’ dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) serta dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun 1409H/1988M oleh Kerajaan Perak sebelum berhijrah ke alam baqa pada Selasa 2 Mei 1995 bersamaan 2 Zulhijjah 1415H di Kamunting, Taiping.
No comments:
Post a Comment